Thursday, October 16, 2025

Cabaran Baharu Guru Era Digital: AI dan Visualisasi Spontan


 Alhamdulillah, hari ini article saya dalam Utusan Malaysia saya kongsikan tentang - Cabaran baharu guru era digital: AI dan visualisasi spontan.

Saya sentuh tentang penggunaan structured prompting - PIDO saya bersama kemahiran Visualization Through Freehand (VTF)

Cabaran Baharu Guru Era Digital: AI dan Visualisasi Spontan

Oleh: Amirul Iskandar bin Mannan, CEO Yayasan Wiba Prima

 

Realiti “Faham Tapi Tak Faham”

Salah satu cabaran terbesar dalam pendidikan moden bukanlah kekurangan bahan, teknologi atau kurikulum tetapi memastikan pelajar benar-benar memahami apa yang diajar, bukan sekadar menghafal.”

“Faham cikgu,” jawab murid-murid setiap kali ditanya. Namun, apabila tiba peperiksaan atau ujian, keputusan membuktikan sebaliknya. Fenomena “faham tapi tak faham” ini kerap berlaku di bilik darjah kita.

Guru mungkin menyampaikan isi pelajaran dengan baik, tetapi jika murid tidak mampu menghubungkan maklumat kepada pemahaman yang mendalam, proses pembelajaran tidak akan berlaku secara efektif.

Inilah sebabnya Program Visual Teachers diwujudkan untuk memperkenalkan pendekatan komunikasi visual secara spontan dalam pengajaran sebagai jalan penyelesaian kepada cabaran ini.

 

Visualization Through Freehand (VTF): Seni Mengajar yang Semakin Hilang

Apabila kita bercakap tentang pendidikan moden, ramai membayangkan penggunaan PowerPoint, infografik atau video. Tetapi realitinya, kemahiran melakar spontan di papan putih atau kertas adalah satu seni yang amat penting tetapi semakin hilang dalam kalangan guru.

Melalui Visualization Through Freehand (VTF) yang diperkenalkan oleh Dr. Ruzaimi Mat Rani, guru dilatih untuk melakar secara ringkas dan spontan bagi menerangkan konsep. Tidak perlu cantik seperti ilustrasi grafik, tetapi cukup untuk membantu murid melihat, membayangkan, dan memahami sesuatu topik dengan lebih baik.

Kajian di peringkat antarabangsa menunjukkan bahawa kemahiran melukis boleh meningkatkan pemahaman pelajar sehingga 50% lebih baik. Ini selari dengan teori pembelajaran visual oleh Richard Mayer (Multimedia Learning) yang menekankan bahawa manusia belajar lebih cepat apabila teks dan visual digabungkan.

Sejak lebih tiga tahun lalu, Yayasan Wiba Prima telah melatih hampir 2,000 guru dari Johor, Perak, Selangor dan Terengganu dalam program Visual Teachers. Rata-rata peserta mengakui bahawa kemahiran VTF ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan mereka di bilik darjah, malah menjadikan pengajaran lebih menyeronokkan untuk murid.

Buku Profits from Visuals kini menjadi teks rujukan penting dalam modul ini, membimbing guru menguasai asas VTF.

 

 

AI dan Cabaran Prompting

Seiring dengan perkembangan teknologi, ramai guru mula menggunakan AI seperti ChatGPT untuk membantu penyediaan Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Benar, AI mampu menjana idea, contoh latihan, atau nota ringkas malah menjana RPH untuk kegunaan para guru.

Namun, ada satu masalah besar iaitu prompting tanpa struktur. Prompting adalah merupakan arahan yang kita berikan kepada AI seperti ChatGPT untuk mendapatkan hasil atau output. Cabarang paling besar kita hari ini adalah prompting yang kurang tepat dan tanpa struktur.

Ramai guru hanya menaip soalan atau prompt di ChatGPT seperti berikut:

  • “Boleh buatkan RPH matematik Tahun 3?”
  • “Tolong berikan idea untuk mengajar sains tentang cahaya.”

Jawapan AI untuk soalan sebegini biasanya terlalu umum, panjang berjela, atau tidak sesuai dengan konteks bilik darjah Malaysia. Apabila guru cuba untuk prompt lagi, biasanya akan menghasilkan output yang sudah jauh dan tersasar serta kurang tepat dari kehendak guru dan lebih merisaukan lagi lebih jauh dari keperluan murid.

 

PIDO : Struktur Prompting untuk Guru

Untuk mengatasi cabaran ini, saya telah membangunkan PIDO sejak 2022. PIDO adalah akronim untuk:

  • P – Parameter
  • I – Instruction
  • D – Details
  • O – Output

Dengan PIDO, guru boleh memberikan arahan yang jelas kepada AI.

Contohnya, bandingkan dua prompt berikut:

Prompt Rawak:
“Buatkan lakaran untuk ajar pecahan.”

Jawapan AI: Gambar generik dengan bulatan dipotong. Tiada konteks, tiada kaitan dengan tahap murid.

Prompt PIDO:

  • P (Parameter): Saya guru Tahun 1 dengan pengalaman 10 tahun.
  • I (Instruction): Tolong bertindak sebagai pakar visual dalam pendidikan awal.
  • D (Details): Saya mahu ajar pecahan menggunakan contoh makanan tempatan (contoh: roti canai).
  • O (Output): Analisa lakaran ringkas yang saya kongsikan, komen penambahbaikan, dan rating daripada 1–10.

Jawapan AI: Ia akan memberikan rating kepada visual yang di kongsi oleh guru dan juga cadangan bagaimana untuk meningkatkan keberkesanan visual.

Perbezaan ini jelas. Dengan PIDO, guru mendapat cadangan lebih tepat, kontekstual, dan boleh terus digunakan dalam pengajaran. Guru boleh terus mengambil tindakan untuk memperbaiki visual yang disediakan bagi tujuan penyedian RPH yang lebih baik dan berkesan.

 

Gabungan VTF & PIDO: Transformasi Menyeluruh dalam Dunia Pendidikan

Program Visual Teachers kini melangkah ke tahap seterusnya dengan menggabungkan dua elemen penting:

1.         VTF – Mengasah kemahiran guru melakar secara spontan dan berkesan.

2.         PIDO – Memberi kawalan strategik kepada guru dalam penggunaan AI.

Gabungan ini membuka peluang luar biasa kepada pendidik. Guru boleh melakar dengan penuh keyakinan sambil memanfaatkan kekuatan AI sebagai “penasihat visual” yang pintar. RPH yang dihasilkan bukan sahaja lebih visual dan inklusif, tetapi juga mudah difahami oleh pelajar pelbagai tahap kemampuan.

Pendekatan ini tidak terhad kepada bilik darjah. Saya sendiri telah menggunakan struktur PIDO dalam sesi latihan bersama agensi kerajaan dan korporat, ternyata hasilnya membuktikan fleksibiliti dan keberkesanan pendekatan ini dalam pelbagai konteks profesional.

 

Perspektif Islam

Islam menekankan kepentingan ilmu yang jelas dan mudah difahami. Allah SWT berfirman dalam Surah Ibrahim ayat 4:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ ۖ فَيُضِلُّ اللَّهُ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي مَن يَشَاءُ ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

“Dan Kami tidak mengutuskan seorang rasul melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia dapat menjelaskan (ajaran Allah) dengan terang kepada mereka. Maka Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”1

Ayat ini memberi mesej bahawa kualiti penyampaian amat penting iaitu mesej sampai apabila ia dijelaskan dengan baik dan difahami oleh audien.

Selaras dengan itu, Rasulullah SAW menekankan konsep ihsan, iaitu melakukan setiap perkara dengan sebaik-baiknya:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ

“Sesungguhnya Allah telah menetapkan ihsan (melakukan dengan sebaik-baiknya) atas setiap perkara” (Muslim:1,955.)

Hadith riwayat Imam Muslim (meninggal 261H) ini menjadi asas kepada semangat ihsan iaitu bukan sekadar bekerja, tetapi melaksanakannya dengan penuh kecemerlangan.

Imam al-Baihaqi (meninggal 458H) di dalam kitabnya Syu’ab al-Iman merekodkan sabdaan Nabi saw:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

“Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang (Syu’ab al-Iman: 4929, 4930 dan 4931 tetapi dengan sanad yang berbeza)

Gabungan ayat dan hadith di atas yang menekankan kepentingan konsep ihsan, ciri itqan serta penjelmaan Ikhlas dapat memberikan iktibar bagi kegunaan kita. Bila kita bekerja dengan kecemerlangan dan hati yang tulus, hasilnya bukan sahaja memberi manfaat kepada manusia, tetapi juga mendapat redha Allah SWT.

Menggunakan visual dan AI dengan PIDO membantu guru mencapai itqan dalam pendidikan iaitu menyampaikan ilmu dengan cara terbaik agar benar-benar difahami murid.

 

Masa Depan Pendidikan Malaysia

Bayangkan sebuah bilik darjah masa depan yang hidup dan interaktif. Guru berdiri dengan penuh keyakinan, melakar idea di papan putih, manakala AI memberikan cadangan pintar melalui struktur PIDO.

Dalam suasana pembelajaran sebegini, murid tidak lagi sekadar mengangguk tanda faham tetapi mereka benar-benar menguasai ilmu.

Dengan memperkasakan guru melalui gabungan VTF dan PIDO, kita bukan sahaja melahirkan tenaga pengajar yang kreatif dan inovatif, tetapi juga membina generasi pelajar yang cerdas, berfikir kritikal dan bersedia menghadapi cabaran abad ke-21.

Apabila kreativiti manusia dan kecerdasan buatan bergabung, kita tidak sekadar menyampaikan ilmu, kita membina masa depan.

Inilah wajah baharu pendidikan Malaysia, pendidikan yang relevan, berkesan dan bermakna untuk generasi akan datang.

No comments:

Post a Comment

Cabaran Baharu Guru Era Digital: AI dan Visualisasi Spontan

 Alhamdulillah, hari ini article saya dalam Utusan Malaysia saya kongsikan tentang - Cabaran baharu guru era digital: AI dan visualisasi spo...