Thursday, March 7, 2013

Terpisah Selepas Tawaf Pertama...

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya serta izinNya, dapatlah kami sekeluarga menjadi tetamuNya di bumi suci Mekah & Madinah pada 11-23 Februari 2013 yang lalu. Alhamdulillah tercapai cita-cita kami sekeluarga untuk menunaikan umrah bersama. Terlalu banyak yang ingin dikongsikan, kini sudah 2 Jumaat berlalu sejak kami pulang ke Malaysia dan terasa rindu sekali dengan Kota Mekah & Kota Madinah. InsyaAllah matlamat seterusnya adalah untuk menunaikan Haji sekeluarga dan kemudian umrah setiap tahun insyaAllah.



Sekadar ingin berkongsi pengalaman semasa melakukan umrah pertama kami. Kami telah terbang terus ke Madinah dari KLIA. Setelah 5 hari 4 malam, kami pun bertolak ke Mekah untuk menunaikan ibadat umrah. Kami bertolak pada hari Jumaat dan sudah siap dengan berpakaian ihram. Setibanya di Bir Ali, miqat bagi semua yang ke Mekah dari Madinah, kami solat sunat ihram dan berniat umrah. Perjalanan bas dari Madinah ke Mekah mengambil masa 5 jam. Sepanjang perjalanan, kami rasa bersyukur kerana hidup di zaman yang serba moden dengan sistem pengangkutan dan jalan raya yang selesa. Di luar sana kami hanya nampak padang pasir. Kami tak boleh bayangkan bagaimana Rasulullah SAW & para sahabat berhijrah dan menunaikan Haji pada masa lalu. Sungguh hebat pengorbanan mereka.

Perjalanan kami diserikan dengan hentian di sebuah R&R untuk makan malam dan solat Jamak Takhir Isyak & Maghrib. Memang suasananya berbeza sekali berbanding di Malaysia. Kemudian kami berlima makan malam dalam talam berkongsi nasi dan lauk. Alhamdulillah lazat sekali & malam itu rezeki kami apabila kami terima sedekah 2 gelas teh 'O' dari pemilik restoran. Alhamdulillah!

Perjalanan diteruskan & alhamdulillah kami selamat tiba di Mekah pada jam 12 tengah malam. Kami terus di bawa ke hotel dan di minta berkumpul di lobi jam 12:20 pagi untuk terus ke Masjidil Haram bagi menunaikan umrah. Terasa sungguh bersemangat dan perasaan masih tidak percaya kami sudah berada di Mekah. Suasana di Mekah sibuk sekali dan terlalu ramai manusia walaupun sudah lewat malam. Setelah semua berkumpul, kami bergerak bersama berjalan kami sambil bertalbiah ke Masjidil Haram. Alhamdulillah, isteriku Elin mendukung Danish menggunakan carrier yang dipinjam dari adiknya Eirna. Terima kasih banyak Eirna & Jai, Allah sahaja yang membalas jasa mereka ;). Dengan carrier itulah kami sekeluarga dapat melakukan 5 umrah. Kalau tidak tak tahulah macamana sebab Danish tidak mahu berjalan dan terlalu ramai orang.

Setibanya di Masjidil Haram, kami terus masuk ke dalam sambil dipimpin Mutawir kami iaitu Ustaz Safarudin, seorang ustaz yang baik dan berilmu. Terima kasih Ustaz semoga Allah selamatkannya dunia & akhirat. Ustaz membimbing kami semua dalam 40 orang untuk melakukan umrah. Bua pertama kami melihat Kaabah, seperti tidak percaya. Allahuakbar, terima kasih Ya Allah kerana memberikan kami peluang menjadi tetamuMu. Kami terus dipimpin untuk melakukan tawaf. Sebaik sahaja kami mula melakukan tawaf, kami terpisah dari ustaz dan kumpulan kami kerana terlalu ramai orang. Pada waktu itu kami tidak risau kerana kami masih bersama. Jadi kami sepakat untuk lakukan bersama. Elin mendukung Danish dan saya memimpin Elina dan Aiman.

Selepas tawaf pertama, saya terbatal wuduk. Saya maklumkan kepada Elin dan dia terus memimpin anak-anak kami Elina & Aiman sambil mendukung Danish. Dia kata nanti jumpa di lampu hijau kita sambung tawaf bersama. Orang terlalu ramai dan itulah kali terakhir saya melihat mereka. Saya terus mencari tempat untuk mengambil wuduk. Pencuci di situ memberitahu, ambil sahaja dengan menggunakan air zam zam. Selepas ambil wuduk, saya terus melakukan tawaf, setiap kali tiba di lampu hijau saya cuba mencari Elin dan anak-anak tetapi tidak berjumpa. Terlalu ramai orang dan semuanya sedang bergerak melakukan tawaf. Saya menjadi risau kerana Elin terpaksa menjaga 3 orang anak-anak dan kami langsung tidak berbincang sekiranya terpisah di mana harus berjumpa atau tunggu.

Alhamdulillah saya berjaya menyelesaikan tawaf. Alhamdulillah, saya solat sunat di belakang Makam Ibrahim. Saya berasa risau dan sepanjang tawaf saya berdoa kepada Allah SWT perliharalah isteri dan anak-anak agar dapat berjumpa semula. Setelah selesai tawaf, saya terus ke tempat kami meninggalkan selipar dengan harapan mereka menunggu di sana. dalam perjalanan saya terserempak dengan satu pasangan suami isteri di dalam kumpulan kami. Mereka bertanya di mana isteri dan anak-anak? Saya beritahu kami terpisah. Mereka terkejut dan risau dan bertanya macamana? Saya beritahu mereka saya nak pergi lihat di tempat selipar mana tahu diorang tunggu di sana. Sampai di tempat seliapar, Elin & anak-anak tiada di situ. Saya menjadi risau dan saya berdoa kepada Allah SWT agar menjaga mereka.

Yang merisaukan saya adalah lebih kepada anak-anak kami Elina dan Aiman kerana kalau terpisah mereka tidak tahu hendak ke mana. Mereka tidak membawa HP dan ini merupakan malam pertama kami di Kota Mekah dan sudah pasti jalan untuk pulang ke Hotel juga mereka kurang pasti. malah nama Hotel pun mereka tidak tahu. Saya berdoa, Ya Allah, Kau peliharalah isteri dan anak-anak ku.

Pada waktu itu saya berfikir, apakah yang akan isteri ku lakukan. Dalam minda, saya tahu Elin akan teruskan untuk selesaikan umrah. Jadi saya terus melakukan Saie. Saya berdoa kepada Allah agar dapat dipertemukan dengan isteri dan anak-anak selepas Saei. Pada waktu itu bermacam-macam perkara bermain di minda saya. Saya teringat, Elin ada mengatakan yang dia nak bawa anak-anak buat umrah, mungkin inilah dia. Kemuadian mak saya sudah berpesan beberapa kali, jaga budak-budak, ramai orang. Pada waktu itu saya rasa tidak boleh buat apa-apa. Terlalu ramai orang dan pada waktu itu saya redha dan terima sebagai ujian.

Selesai 7 kali berulang alik Safa ke Marwah dan Marwah ke Safa saya terus bergegas ke tempat selipar. Pada waktu itu sudah pukul 3 pagi. AllahuAkbar! Saya dapat lihat Elin dan anak-anak di tempat selipar. Mereka selamat dan telah berjaya lakukan umrah. Alhamdulillah. Terima kasih Allah. Elin berkongsi dengan saya, selepas terpisah mereka cuba mencari saya tetapi tidak jumpa jadi mereka teruskan tawaf hingga selesai 7 pusingan. Setelah selesai Elin beritahu anak-anak sudah risau sebab sudah terpisah dengan ustaz dan juga bapa. Aiman sudah mahu menangis. Selesai tawaf mereka terus ke belakang Makam Ibrahim dan solat sunat. Selesai solat sunat, di depan mereka, terlihat Ustaz! SubhanAllah. Terus Ustaz bertanya di mana bapa? Mereka memberitahu Ustaz dan Ustazlah memimpin mereka sehingga selesai. Syukur Alahmdulillah.

Saya rasa gembira sangat semasa berjumpa semula Elin dan anak-anak. Soalan pertama mereka tanya, sudah bertahalul (gunting/cukur)? Saya beritahu belum sebab saya terus ke tempat selipar setelah selesai Saei. Lalu Ustaz Sarafudin terus memotong rambut saya untuk selesaikan umrah pertama kami sekeluarga.

Syukur kepada Allah SWT atas segala nikmatnya. Terasa sangat diri ini kerdil dan tiada apa-apa. Ya Allah tetapkanlah iman kami sekeluarga. Kuatkanlah iman kami dan berilah kami peluang menjadi tetamu lagi. Amin.

No comments:

Post a Comment