Saturday, September 6, 2014

Membina Rumah Di Syurga

Alhamdulillah semalam berpeluang mendengar tazkirah 20 minit bersama Imam dari Mekah iaitu Imam Muhammad Sharif Imrani yang bertandang ke Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar.

Pada mulanya, ingatkan Imam tidak dapat hadir kerana sampai azan Isyak masih belum tiba. Syukur Alhamdulillah semasa solat Isyak, beliau sampai. Dapatlah kami semua melakukan solat hajat bersamanya diikuti dengan tazkirah santai selama 20 minit.

Walaupun 20 minit sahaja namun apa yang Imam kongsikan boleh terus di praktikkan. Imam bermula dengan bertanya kepada jemaah. Siapa di sini ingin kaya? Semua jawab mahu. Kemudian Imam bertanya siapa mahu jadi kaya seperti Qarun? Semua kata tak mahu :)



Imam seterusnya berkata dia ingin berikan kami beberapa amalan yang membolehkan kita membina rumah di Syurga!

1. Solat sunat 12 rakkat setiap hari iaitu solat sunat Rawatib. Pastikan kita lakukan setiap hari. Tiada kos, cuma masa dan tenaga kita sahaja. Allahuakbar! Apa yang kita perlu buat adalah:
- 2 rakaat sebelum Subuh
- 4 rakaat sebelum Zohor
- 2 rakaat selepas Zohor
- 2 rakaat selepas Maghrib &
- 2 rakaat selepas Isyak

Ada banyak hadis sahih yang menyentuh kelebihan solat-solat sunat ini. Ayuh kita usaha untuk mengamalkannya. InsyaAllah.

2. Baca surah Al-Ikhlas sebanyak 10 kali setiap kali selepas solat fardhu. Nikmat dan fadhilat surat Al-Ikhlas ini juga terlalu banyak, Malah membacanya 3 kali sudah seumpama membaca seluruh Ai-Quran!!! Allahuakbar!

3. Untuk senang apabila dijemput sakaratul maut kerana sakitnya apabila nyawa ini di tarik adalah lebih sakit dari daging yang dihiris dengan pisau yang tajam. Bayangkanlah betapa sakitnya kita apabila roh berpisah dengan badan. Untuk memudahkan kita melalui proses yang kita semua pasti akan tempuhi, Imam memberitahu solat Subuh berjemaah dan yang terbaik adalah solat Subuh berjemaah di masjid atau surau. Allahuakbar.

Ya Allah semoga kau berikan kepada kami taufik dan hidayah serta kekuatan untuk mengejar semua ganjaran dan nikmat yang kau berikan. Berilah kami kebolehan, kemahuan dan kekuatan untuk mendekatkan diri kami kepadaMu Ya Allah. Amin.

No comments:

Post a Comment