Pages

Thursday, January 17, 2013

Amalan Seorang Sahabat Ahli Syurga

Alhamdulillah, Allah SWT memberikan peluang untuk terus hidup di dunia ini. Syukur pagi tadi dapat solat berjemaah dengan seisi keluarga dan dapat berkongsi hadith dengan semua tentang lebihnya umat Muhammad SAW iaitu dengan kalimah Lailahaillallah (لاَ إِلَهَ إِلَّاالله) . Sungguh beruntung kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW kerana kalimah Lailahaillallah (لاَ إِلَهَ إِلَّاالله) boleh membantu kita kelak. InsyaAllah.

Selepas hantar anak-anak kesekolah, dengar radio IKIM FM dan ada perkongsian dari seorang Ustaz. Dia menceritakan sebuah kisah di mana Rasulullah SAW sedang mengajar sekumpulan sahabat dan kemudian Baginda Nabi SAW memaklumkan sedikit lagi akan datang seorang sahabat yang akan duduk bersama kita. Rasulullah seterusnya memberitahu semua di situ bahawa sahabat ini adalah seorang ahli syurga. Para sahabat semua teruja dan tidak sabar untuk melihat siapkah sahabat yang akan muncul.

Apabila sahabat ini muncul, semuanya melihat dia dan tersenyum dan meraikan kedatangannya. Setelah selesai perjumpaan dengan Rasulullah SAW, seorang sahabat pergi mendampingi sahabat yang dikatakan ahli syurga ini. Sahabat ini bertanya bolehkah dia menjadi tetamu kepadanya. Sahabat ahli syurga ini membenarkannya maka sahabat yang seorang lagi ini menjadi tetamu selama 3 hari. Maka dilayanlah sahabat ahli syurga ini selama 3 hari dari segi pemakanannya, tempat tidurnya dan sebagainya. Setelah hari ketiga sahabat ini meminta izin untuk pulang.

Setelah pulang, sahabat ini tertanya-tanya apakah yang membezakan sahabat yang dikatakan ahli syurga ini dengan dirinya kerana semua amalannya adalah sama. Ibadatnya, solatnya, makannya, cara hidupnya semua sama kecuali apa yang dilakukan oleh sahabat syurga ini di dalam bilik tidurnya bersama isterinya. Lalu sahabat ini terus ke rumah Rasulullah SAW. Beliau bertanya kepada Rasulullah SAW apakah perbezaannya. Rasulullah SAW memberitahu yang Baginda SAW tidak tahu jawapannya cuma Baginda SAW tahu yang sahabat tadi adalah ahli syurga. Rasulullah SAW menyuruh sahabat ini bertanya sendiri kepada sahabat ahli syurga.

Lalu sahabat ini pergi berjumpa semula dengan sahabat ahli syurga ini dan memaklumkan bahawa Rasulullah SAW ada memberitahu yang beliau adalah seorang ahli syurga. Sahabat ahli syurga ini terkejut kerana beliau senditi tidak tahu. Lalu ditanya apakah yang dia lakukan berbeza? Semuanya sama kecuali apa yang dilakukan di dalam bilik tidur.

Sahabat ahli syurga ini, menceritakan apa yang dilakukannya apabila masuk tidur. Sebaik sahaja aku baringkan diri aku di atas katil untuk tidur aku memohon kepada Allah SWT 3 perkara;

1. Aku memohon keampunan untuk orang yang paling rapat denganku selepas Allah SWT & Rasulullah SAW iaitu kedua ibubapaku. Aku memberitahu Allah SWT kedua ibubapaku adalah orang yang baik dan telah menjaga aku dengan baik oleh itu ampunilah segala dosa mereka.

2. Kemudian aku memohon kepada Allah SWT orang yang paling rapat kepada ku selepas ibubapaku iaitu isteriku. Aku memohon agar Allah SWT ampunkan dosanya walaupun kadang-kadang aku marah dan geram kepadanya tetapi aku maafkan dan aku doakan agar Allah ampunkan dosanya. Dia isteri yang baik dan semoga menjadi isteri yang soleh.

3. Ketiga aku doakan dan aku mohon keampunan untuk anak-anak ku. Memang ada hari aku berasa marah dan hilang sabar dengan anak-anak ku tetapi aku mohon ampun untuk mereka kepada Allah SWT. Mereka anak-anak yang baik dan jadikan meraka anak-anak yang soleh.

Wah! Sungguh hebat. satu amalan yang kita boleh lakukan bersama setiap malam sebelum tidur. InsyaAllah.